Monday, September 3, 2012

Janji Demokrasi

Sajak ini ditulis oleh sasterawan negara kita, A. Samad Said;


Beliau membaca sajak ini dengan penuh linangan air mata ketika sambutan Janji Demokrasi di Dataran Merdeka (31 Ogos 2012). Sajak beliau mengingatkan perjuangan para sasterawan ketika Gelombang Asas ’50 (Angkatan Sasterawan ‘50), sebuah badan penulis yang mengukir sejarah kerana ikut serta dalam perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air dan keadilan sosial untuk rakyat yang dipelopori oleh Usman Awang,  Kris Mas, Asraf Haji Abd Wahab, A. Samad Ismail, Masuri S.N. dan lain-lain – sasterawan yang sentiasa berada di tengah rakyat. 


Hayatilah sajak ini...Janji Demokrasi..

Malam amatlah indah walaupun kalbu masih terdera,
kita terpaksa menyambut senyum demokrasi yang lara.
Dataran Merdeka tak lagi dipupuk gah sejarahnya
kerana tak digalak ia untuk lebih bersejarah.
Kini di mana-mana sajalah Dataran Suara kita!

Angin sejarah yang tulen kini makin berhembus kencang
mencanda panji negara yang berkibar girang dan garang;
dan seragam gelombang kuning – diri kita yang sejati –
menghimpun azam dan tekad untuk tulus damai berbakti,
menjeritkan: Janji Demokrasi, ya, Janji Demokrasi!

Kita mulai dihindar untuk mengalir ke Dataran;
di mana sajalah kini kita rai kemerdekaan.
Kita enggan menjadi wira ciplakan di dalam mimpi.
Kita laungkan jerit senyaringnya: “Janji Demokrasi!”
sehinggalah janji itu turut menjeritnya sendiri!

No comments:

Post a Comment